Iliotibial Band Friction Syndrome (ITBFS)

ITBFS berlaku apabila keradangan tercetus pada bahagian tepi tulang peha (lateral femoral condyle) akibat tekanan yang berlebihan dan berterusan secara berulang. Keadaan ini lazimnya dialami oleh pelari, penunggang basikal (cyclist), atau atlet (Levine, 2010).
Punca-Punca ITB Syndrome
1. Ketidakseimbangan Otot Hip Flexor
Kefungsian otot iliopsoas yang lemah menyebabkan otot tensor fascia latae (TFL) mengambil alih fungsinya.
Keadaan ini merupakan salah satu strategi kompensasi tubuh untuk memastikan pergerakan peha dapat diteruskan dengan lancar.
Dalam jangka masa panjang, otot TFL akan menjadi lebih pendek (hypertonic). Memandangkan iliotibial band (ITB) terbentuk daripada cantuman (insertion) TFL, sebarang perubahan pada TFL akan memberi kesan langsung kepada ITB.
Penggunaan ITB yang berlebihan (overuse) akan meningkatkan tekanan pada struktur ini. Lama-kelamaan, keradangan (inflammation) akan berlaku dan kesakitan mula dirasai.
2. Dynamic Knee Valgus
Keadaan ini berlaku apabila terdapat putaran ke dalam (internal rotation) pada tulang peha (femur) dan betis (tibia).
Putaran pada femur dan tibia menyebabkan ketegangan (tension) pada ITB meningkat (Noehren et al., 2007). Jika dibiarkan berterusan, tekanan ini akan mencetuskan keradangan pada ITB.
3. Contralateral Pelvic Drop / Hip Drop
Keadaan ini berlaku semasa fasa “stance phase” dalam larian, apabila individu berdiri di atas sebelah kaki. Pinggul pada kaki bertentangan (non-stance leg) akan kelihatan jatuh (pelvic drop).
Situasi ini menyebabkan ITB memanjang dan meningkatkan tekanan ke atasnya. Jika tidak diperbetulkan, keradangan atau kecederaan pada ITB boleh berlaku.
Pelvic drop biasanya disebabkan oleh ketidakstabilan otot-otot yang terlibat dalam kestabilan pelvis. Antara otot yang berkemungkinan terlibat termasuk gluteus medius, quadratus lumborum, dan external oblique.
